GEMUK perkataan yang sangat ditakuti wanita manakala gendut senario biasa pada lelaki. Kebanyakan orang percaya selepas berkahwin, perempuan mudah menjadi gemuk dan lelaki cenderung untuk gendut.
Bagaimanapun, ia sebenarnya sekadar cakap kosong yang tidak pernah disertai dengan kajian saintifik.
Walaupun genetik memainkan peranan penting tetapi masalah itu ia juga berkaitan dengan aktiviti fizikal dan pemakanan individu.Gemuk sebenarnya trend yang semakin meningkat bukan saja di Malaysia tetapi seluruh dunia yang dikaitkan dengan proses urbanisasi dan globalisasi. Ramai orang tidak bergiat aktif, tidak bersenam dan mengamalkan gaya pemakanan tidak sihat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengakui obesiti adalah epidemik yang mewarnai peta dunia. Hampir satu bilion orang dewasa di seluruh dunia terlebih berat dan satu pertiga daripadanya gemuk. Ironinya, negara seperti India yang dicatatkan sebagai negara yang memiliki kes kekurangan nutrisi yang tinggi juga menghadapi masalah ini.
Lahirkan anak ramai bukan punca gemuk.
WANITA berisi juga menarik.
DI BARAT, gemuk dan terlebih berat badan memang perkara biasa. Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan pola peningkatannya lebih cepat berbanding negara membangun.
Bagaimanapun WHO memberi jawapan yang sama kepada punca masalah ini iaitu pengambilan makanan yang tinggi gula, lemak tepu dan kurang khasiat digabung dengan sikap malas bersenam.
Justeru, kepercayaan wanita mudah menjadi gemuk selepas kahwin adalah mitos belaka.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Noor Azah Daud, berkata logiknya selagi menjaga pemakanan dan rajin bersenam, jumlah kekerapan melahirkan anak bukanlah soalnya kerana ada juga perempuan yang tidak berkahwin juga gemuk.
“Sebenarnya apabila umur meningkat iaitu bermula usia 40 tahun, fisiologi otot mengecil atau mengecut secara perlahan-lahan dan ia boleh diisi dengan lemak. Keadaan ini bukan terhad pada wanita saja tetapi juga lelaki,” katanya.
Simpanan tenaga utama adalah lemak. Apabila pengambilan tenaga lebih banyak daripada tenaga yang digunakan, tisu berlemak (adipose tissue) semakin bertambah. Keadaan itu selalunya seiring dengan peningkatan BMI justeru berat badan.
Penggunaan tenaga tubuh sebenarnya sepadan dengan berat badan. Peningkatan tenaga yang tidak seimbang menyebabkan pertambahan berat badan. Saya sentiasa sibuk di pejabat dan rumah, mengapa saya masih gemuk? Ini mungkin soalan biasa di kalangan wanita. Jawabnya mudah, kata Dr Noor Azah, secara relatifnya lelaki lebih aktif justeru mereka lebih berupaya mengawal berat badan berbanding wanita.
“Memang wanita juga aktif. Bagaimanapun keaktifan itu tidak termasuk bersenam. Selalunya wanita ‘aktif’ dengan urusan pejabat dan sibuk dengan rumah tangga tetapi secara realiti wanita tidak banyak bergerak,” katanya. Maksudnya, dalam melakukan kerja pejabat dan kerja rumah kekuatan tangan yang lebih diperlukan. Pergerakan tangan digunakan untuk menaip dan memasak atau melipat pakaian. Pergerakan tangan tidak termasuk dalam kategori penggunaan otot besar. Penggunaan jari atau otot kecil bermaksud kurang mengeluarkan tenaga.
Berbanding otot besar seperti bahu, paha dan pinggul, setiap pergerakan otot besar lebih dari 10 minit membantu mengeluarkan tenaga. Kerana itu setiap kali melakukan aktiviti fizikal ia mesti lebih dari jangka masa itu.
Anologi paling mudah, mentega yang dikeluarkan dari peti sejuk mengambil masa 10 minit untuk mencair. Justeru, jika mahu kurus perlu ada keseimbangan antara tenaga yang diambil dan digunakan. “Ada wanita mengambil jalan pintas untuk kurus. Mengambil pil pelansing dan mengamalkan diet tidak sihat. Apa yang perlu mereka tahu, pil pelansing ada pelbagai cara tindakannya. Ada berfungsi mengurangkan penyerapan makanan dan ada mengurangkan selera makan. “Cara betul kurangkan berat badan adalah amalan bersenam dan makan makanan sihat. Jangan makan pil kurus kerana sebaik saja berhenti mengambilnya, berat badan akan naik dua kali ganda daripada asal. Malah ada kes ia juga boleh menjejaskan buah pinggang kerana ia sudah tidak boleh lagi berfungsi sebagai penapis,” katanya.
Dr Noor Azah berkata, ubat menguruskan badan tidak banyak membantu dan ia bergantung pada fungsinya. Paling utama pengguna perlu pastikan ia diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia. “Gemuk sepatutnya tidak boleh menjadi trend. Obesiti adalah penyakit. Walau apapun kepercayaan, sama ada normal untuk wanita gemuk selepas kahwin atau biasalah kalau lelaki gendut selepas berkahwin ia harus dihapuskan sama sekali,”
Antara komplikasi gemuk adalah barah. Memang penyakit barah itu sebenarnya disebabkan banyak faktor, tetapi kalau banyak lemak risiko barah lebih tinggi. Justeru, mereka yang obes lebih cenderung diserang barah. Genetik memang memainkan peranan tetapi ia tidak sehebat penangan tabiat pemakanan tidak betul dan sikap malas bersenam. Genetik hanya memberi sumbangan yang kecil saja dalam epidemik gemuk.
“Jika seseorang itu gemuk sejak kecil, sel lemaknya lebih besar dan banyak. Walaupun apabila dewasa, kegemukannya tidak bertambah, bilangan sel lemak tidak berkurang. Maksudnya, dia susah untuk menjadi kurus berbanding mereka yang gemuk selepas dewasa,” katanya.
Antara wanita dan lelaki malah antara satu individu dengan individu lain, tidak ada satu kadar pembakaran lemak (BMR) sama. Ada individu yang makan kerap tetapi tidak gemuk. Mereka ini tergolong dalam kelompok BMR tinggi.
Merujuk pada kajian pemakanan di kalangan dewasa Malaysia (MANS) pada 2003 mendapati prevelan obesiti dan terlebih berat lebih tinggi di kalangan wanita berbanding lelaki.
Perbandingan antara kaum pada 1995 pula mendapati prevelan obesiti lebih tinggi di kalangan orang Melayu diikuti India dan Cina manakala kajian MANS menunjukkan obesiti tertinggi adalah di kalangan masyarakat India.
Kajian MANS juga mendapati pengambilan tenaga penduduk Malaysia adalah 70 peratus daripada pengambilan makanan yang dicadangkan. Cadangan pengambilan tenaga penduduk Malaysia dewasa adalah antara 1,200 hingga 1,800 kalori (kcal) sehari tetapi ia berbeza mengikut umur dan jantina. Kajian itu juga menunjukkan sebahagian besar rakyat Malaysia (85.5 peratus) mengamalkan gaya hidup sedentari (lebih banyak duduk) manakala hanya 14.4 saja bersenam.
Kata Dr Noor Azah, secara umum bagi wanita tisu lemak berlebihan tersimpan di pinggul, kaki dan paha manakala bagi lelaki lebihan itu lebih banyak berkumpul di perut.
Secara umum, senaman untuk menguatkan jantung adalah berlari 30 minit tetapi jika ingin menguruskan badan, cukup dengan berjalan-jalan santai tanpa berhenti bagi tempoh satu jam.
Lelaki mudah gendut bila usia meningkat.
APA punca gemuk dan gendut? Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Noor Azah Daud, berkata puncanya adalah ketidakseimbangan dalam pengambilan tenaga dengan penggunaan tenaga.
Ini ditambah dengan tiada perubahan dalam tabiat dan pengambilan makanan berlemak dan tinggi kalori.
“Kombinasi pengambilan nutrisi berlebihan ditambah pula dengan gaya hidup lebih banyak duduk adalah punca utama obesiti epidemik,” katanya. Selain malas bersenam, perubahan persekitaran fizikal (obesogenic environment) juga mempengaruhi keadaan ini. Antara lelaki dan perempuan, lelaki cenderung untuk menjadi gendut apabila usia semakin meningkat. Lelaki seperti juga perempuan ‘bergelut’ dengan isu pertambahan berat badan atau gemuk sepanjang usia. Begitupun, ada yang tidak menyedari pertambahan dalam ukur lilit perut mereka.
Gemuk atau gendut sebenarnya boleh dicegah dengan pengambilan diet yang betul dan senaman. Senaman untuk setiap individu, tua dan muda tidak sama. Apabila usia meningkat misalnya, selain mengubah menu makanan anda juga perlu tahu senaman sesuai untuk terus kekal langsing atau menurunkan berat badan.
Secara umum, untuk menurunkan berat badan anda perlu ‘membakar’ sebanyak mana kalori yang anda ambil. Maksudnya elak makanan tinggi lemak dan karbohidrat dan makan dalam kuantiti yang kecil. Jadikan ‘pembakaran’ lemak sebagai aktiviti rutin. Walau di mana anda berada di rumah atau pejabat, lakukan bila berkesempatan. Misalnya, gunakan tangga untuk ke kantin atau ke surau. Begitupun turun naik tangga lakukan dengan menggunakan kasut bertapak rendah bukan kasut bertumit tinggi.
InfoDalam sesetengah budaya, gemuk dikaitkan dengan tarikan fizikal, kekuatan dan kesuburan. Artifak lama dikenali sebagai “Venus figurines” iaitu statut bersaiz poket adalah model perempuan gemuk. Walaupun signifikan budaya ini tidak direkodkan tetapi ia dikatakan popular di zaman prasejarah di Mediterranean. Dalam budaya Eropah pula, perempuan gemuk dikaitkan dengan ritual magis dan kesuburan. Gemuk juga diiktiraf sebagai simbol kekayaan dan status sosial terutama dalam kelompok masyarakat yang mengalami masalah kekurangan makanan. Dalam sejarah awal Eropah moden juga gemuk dikaitkan sebagai simbol kekayaan sebelum akhirnya ia dikaitkan dengan keghairahan, selera dan erotik.
Dalam seni halus, perempuan gemuk juga mendapat tempat. Misalnya dalam karya pelukis era baroque, Peter Paul Rubens (1577-1640) sehingga timbulnya istilah ‘Rubenesque’ . Ia dilihat sebagai simbol prestij.
kredit : http://wwwzuradvabeauty.blogspot.com
kredit : http://ramadhan1985.blogspot.com/2010/09/perbezaan-lelaki-gendut-dan-wanita.html
Pasal Toujours Advanced Collagen Shots
9 years ago
0 comments:
Post a Comment