BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, August 6, 2011

Perempuan GEMUK lelaki GENDUT

GEMUK perkataan yang sangat ditakuti wanita manakala gendut senario biasa pada lelaki. Kebanyakan orang percaya selepas berkahwin, perempuan mudah menjadi gemuk dan lelaki cenderung untuk gendut.
Bagaimanapun, ia sebenarnya sekadar cakap kosong yang tidak pernah disertai dengan kajian saintifik.

Walaupun genetik memainkan peranan penting tetapi masalah itu ia juga berkaitan dengan aktiviti fizikal dan pemakanan individu.Gemuk sebenarnya trend yang semakin meningkat bukan saja di Malaysia tetapi seluruh dunia yang dikaitkan dengan proses urbanisasi dan globalisasi. Ramai orang tidak bergiat aktif, tidak bersenam dan mengamalkan gaya pemakanan tidak sihat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengakui obesiti adalah epidemik yang mewarnai peta dunia. Hampir satu bilion orang dewasa di seluruh dunia terlebih berat dan satu pertiga daripadanya gemuk. Ironinya, negara seperti India yang dicatatkan sebagai negara yang memiliki kes kekurangan nutrisi yang tinggi juga menghadapi masalah ini.
Lahirkan anak ramai bukan punca gemuk.
WANITA berisi juga menarik.
DI BARAT, gemuk dan terlebih berat badan memang perkara biasa. Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan pola peningkatannya lebih cepat berbanding negara membangun.

Bagaimanapun WHO memberi jawapan yang sama kepada punca masalah ini iaitu pengambilan makanan yang tinggi gula, lemak tepu dan kurang khasiat digabung dengan sikap malas bersenam.

Justeru, kepercayaan wanita mudah menjadi gemuk selepas kahwin adalah mitos belaka.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Noor Azah Daud, berkata logiknya selagi menjaga pemakanan dan rajin bersenam, jumlah kekerapan melahirkan anak bukanlah soalnya kerana ada juga perempuan yang tidak berkahwin juga gemuk.

“Sebenarnya apabila umur meningkat iaitu bermula usia 40 tahun, fisiologi otot mengecil atau mengecut secara perlahan-lahan dan ia boleh diisi dengan lemak. Keadaan ini bukan terhad pada wanita saja tetapi juga lelaki,” katanya.

Simpanan tenaga utama adalah lemak. Apabila pengambilan tenaga lebih banyak daripada tenaga yang digunakan, tisu berlemak (adipose tissue) semakin bertambah. Keadaan itu selalunya seiring dengan peningkatan BMI justeru berat badan.

Penggunaan tenaga tubuh sebenarnya sepadan dengan berat badan. Peningkatan tenaga yang tidak seimbang menyebabkan pertambahan berat badan. Saya sentiasa sibuk di pejabat dan rumah, mengapa saya masih gemuk? Ini mungkin soalan biasa di kalangan wanita. Jawabnya mudah, kata Dr Noor Azah, secara relatifnya lelaki lebih aktif justeru mereka lebih berupaya mengawal berat badan berbanding wanita.

“Memang wanita juga aktif. Bagaimanapun keaktifan itu tidak termasuk bersenam. Selalunya wanita ‘aktif’ dengan urusan pejabat dan sibuk dengan rumah tangga tetapi secara realiti wanita tidak banyak bergerak,” katanya. Maksudnya, dalam melakukan kerja pejabat dan kerja rumah kekuatan tangan yang lebih diperlukan. Pergerakan tangan digunakan untuk menaip dan memasak atau melipat pakaian. Pergerakan tangan tidak termasuk dalam kategori penggunaan otot besar. Penggunaan jari atau otot kecil bermaksud kurang mengeluarkan tenaga.
Berbanding otot besar seperti bahu, paha dan pinggul, setiap pergerakan otot besar lebih dari 10 minit membantu mengeluarkan tenaga. Kerana itu setiap kali melakukan aktiviti fizikal ia mesti lebih dari jangka masa itu.

Anologi paling mudah, mentega yang dikeluarkan dari peti sejuk mengambil masa 10 minit untuk mencair. Justeru, jika mahu kurus perlu ada keseimbangan antara tenaga yang diambil dan digunakan. “Ada wanita mengambil jalan pintas untuk kurus. Mengambil pil pelansing dan mengamalkan diet tidak sihat. Apa yang perlu mereka tahu, pil pelansing ada pelbagai cara tindakannya. Ada berfungsi mengurangkan penyerapan makanan dan ada mengurangkan selera makan. “Cara betul kurangkan berat badan adalah amalan bersenam dan makan makanan sihat. Jangan makan pil kurus kerana sebaik saja berhenti mengambilnya, berat badan akan naik dua kali ganda daripada asal. Malah ada kes ia juga boleh menjejaskan buah pinggang kerana ia sudah tidak boleh lagi berfungsi sebagai penapis,” katanya.

Dr Noor Azah berkata, ubat menguruskan badan tidak banyak membantu dan ia bergantung pada fungsinya. Paling utama pengguna perlu pastikan ia diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia. “Gemuk sepatutnya tidak boleh menjadi trend. Obesiti adalah penyakit. Walau apapun kepercayaan, sama ada normal untuk wanita gemuk selepas kahwin atau biasalah kalau lelaki gendut selepas berkahwin ia harus dihapuskan sama sekali,”

Antara komplikasi gemuk adalah barah. Memang penyakit barah itu sebenarnya disebabkan banyak faktor, tetapi kalau banyak lemak risiko barah lebih tinggi. Justeru, mereka yang obes lebih cenderung diserang barah. Genetik memang memainkan peranan tetapi ia tidak sehebat penangan tabiat pemakanan tidak betul dan sikap malas bersenam. Genetik hanya memberi sumbangan yang kecil saja dalam epidemik gemuk.

“Jika seseorang itu gemuk sejak kecil, sel lemaknya lebih besar dan banyak. Walaupun apabila dewasa, kegemukannya tidak bertambah, bilangan sel lemak tidak berkurang. Maksudnya, dia susah untuk menjadi kurus berbanding mereka yang gemuk selepas dewasa,” katanya.
Antara wanita dan lelaki malah antara satu individu dengan individu lain, tidak ada satu kadar pembakaran lemak (BMR) sama. Ada individu yang makan kerap tetapi tidak gemuk. Mereka ini tergolong dalam kelompok BMR tinggi.

Merujuk pada kajian pemakanan di kalangan dewasa Malaysia (MANS) pada 2003 mendapati prevelan obesiti dan terlebih berat lebih tinggi di kalangan wanita berbanding lelaki.
Perbandingan antara kaum pada 1995 pula mendapati prevelan obesiti lebih tinggi di kalangan orang Melayu diikuti India dan Cina manakala kajian MANS menunjukkan obesiti tertinggi adalah di kalangan masyarakat India.

Kajian MANS juga mendapati pengambilan tenaga penduduk Malaysia adalah 70 peratus daripada pengambilan makanan yang dicadangkan. Cadangan pengambilan tenaga penduduk Malaysia dewasa adalah antara 1,200 hingga 1,800 kalori (kcal) sehari tetapi ia berbeza mengikut umur dan jantina. Kajian itu juga menunjukkan sebahagian besar rakyat Malaysia (85.5 peratus) mengamalkan gaya hidup sedentari (lebih banyak duduk) manakala hanya 14.4 saja bersenam.

Kata Dr Noor Azah, secara umum bagi wanita tisu lemak berlebihan tersimpan di pinggul, kaki dan paha manakala bagi lelaki lebihan itu lebih banyak berkumpul di perut.
Secara umum, senaman untuk menguatkan jantung adalah berlari 30 minit tetapi jika ingin menguruskan badan, cukup dengan berjalan-jalan santai tanpa berhenti bagi tempoh satu jam.
Lelaki mudah gendut bila usia meningkat.

APA punca gemuk dan gendut? Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Noor Azah Daud, berkata puncanya adalah ketidakseimbangan dalam pengambilan tenaga dengan penggunaan tenaga.
Ini ditambah dengan tiada perubahan dalam tabiat dan pengambilan makanan berlemak dan tinggi kalori.

“Kombinasi pengambilan nutrisi berlebihan ditambah pula dengan gaya hidup lebih banyak duduk adalah punca utama obesiti epidemik,” katanya. Selain malas bersenam, perubahan persekitaran fizikal (obesogenic environment) juga mempengaruhi keadaan ini. Antara lelaki dan perempuan, lelaki cenderung untuk menjadi gendut apabila usia semakin meningkat. Lelaki seperti juga perempuan ‘bergelut’ dengan isu pertambahan berat badan atau gemuk sepanjang usia. Begitupun, ada yang tidak menyedari pertambahan dalam ukur lilit perut mereka.
Gemuk atau gendut sebenarnya boleh dicegah dengan pengambilan diet yang betul dan senaman. Senaman untuk setiap individu, tua dan muda tidak sama. Apabila usia meningkat misalnya, selain mengubah menu makanan anda juga perlu tahu senaman sesuai untuk terus kekal langsing atau menurunkan berat badan.

Secara umum, untuk menurunkan berat badan anda perlu ‘membakar’ sebanyak mana kalori yang anda ambil. Maksudnya elak makanan tinggi lemak dan karbohidrat dan makan dalam kuantiti yang kecil. Jadikan ‘pembakaran’ lemak sebagai aktiviti rutin. Walau di mana anda berada di rumah atau pejabat, lakukan bila berkesempatan. Misalnya, gunakan tangga untuk ke kantin atau ke surau. Begitupun turun naik tangga lakukan dengan menggunakan kasut bertapak rendah bukan kasut bertumit tinggi.

InfoDalam sesetengah budaya, gemuk dikaitkan dengan tarikan fizikal, kekuatan dan kesuburan. Artifak lama dikenali sebagai “Venus figurines” iaitu statut bersaiz poket adalah model perempuan gemuk. Walaupun signifikan budaya ini tidak direkodkan tetapi ia dikatakan popular di zaman prasejarah di Mediterranean. Dalam budaya Eropah pula, perempuan gemuk dikaitkan dengan ritual magis dan kesuburan. Gemuk juga diiktiraf sebagai simbol kekayaan dan status sosial terutama dalam kelompok masyarakat yang mengalami masalah kekurangan makanan. Dalam sejarah awal Eropah moden juga gemuk dikaitkan sebagai simbol kekayaan sebelum akhirnya ia dikaitkan dengan keghairahan, selera dan erotik.

Dalam seni halus, perempuan gemuk juga mendapat tempat. Misalnya dalam karya pelukis era baroque, Peter Paul Rubens (1577-1640) sehingga timbulnya istilah ‘Rubenesque’ . Ia dilihat sebagai simbol prestij.

kredit : http://wwwzuradvabeauty.blogspot.com
kredit : http://ramadhan1985.blogspot.com/2010/09/perbezaan-lelaki-gendut-dan-wanita.html

Wednesday, August 3, 2011

Follow ye...

diet di bulan Ramadhan


Sebagai umat Islam, kedatangan bulan Ramadhan adalah yang paling ditunggu-tunggu kerana penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Kebanyakan daripada kita mengambil kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk menumpukan kepada aktiviti-aktiviti berbentuk keagamaan dan memperbanyakkan ibadat dan berehat seketika daripada melakukan aktiviti luar dan lasak. Kepenatan setelah seharian penat berpuasa menyebabkan kita tidak lagi memikirkan tentang perlunya melakukan aktiviti-aktiviti yang berbentuk kecergasan. Memang tidak dinafikan apabila kita berpuasa, badan akan menjadi letih disebabkan oleh kekurangan tenaga di dalam badan. Faktor cuaca di negara kita yang panas dan keadaan di sekeliling kita terutama di bandar-bandar besar juga menjadi faktor yang menyebabkan badan kita mengalami keletihan dan menjadi lesu.

Namun begitu, kita tidak seharusnya alpa dan lalai dalam mengambil berat tentang aspek penjagaan kesihatan diri kita. Alasan berpuasa tidak seharusnya membolehkan kita menjadi malas seperti hanya duduk di depan televisyen dan menghabiskan masa di siang hari dengan tidur. Jika kita tidak mengambil berat tentang aspek pemakanan ia sedikit sebanyak akan menyebabkan kita terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, penyakit jantung, risiko menjadi obesiti dan lain-lain lagi.

Walaupun sedang berpuasa, kita juga boleh terus kekal cergas dengan melakukan aktiviti fizikal dan senaman ringan bergantung kepada keupayaan seseorang individu itu. Bulan puasa tidak boleh dianggap sebagai bulan untuk berehat dari melakukan aktiviti-aktiviti berbentuk kecergasan. Kebanyakan daripada kita menganggap bulan puasa sebagai platform untuk menguruskan badan dan mendapatkan bentuk badan yang menarik. Hakikat ini memang tidak dapat dinafikan, namun begitu dengan mengamalkan diet sahaja ia sebenarnya tidak membantu kita untuk kekal cergas di bulan puasa ini. Kepelbagaian pengambilan jenis makanan sewaktu berbuka puasa menyebabkan badan kita tidak dapat menghadam dan memproses makan dengan sempurna. Ini ditambah pula dengan makanan yang berlemak dan berminyak serta aneka kuih-muih yang manis menyebabkan lemak-lemak yang tidak dapat dihadam tadi tersekat dan berkumpul di sekitar saluran darah. Setiap kalori yang terkandung di dalam makanan perlu dibakar dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti bersenam. Selain dapat mengeluarkan peluh, ia juga membantu melancarkan aliran darah dalam badan dan membantu meningkatkan kekuatan otot bergantung kepada jenis aktiviti yang kita lakukan.

Waktu yang paling ideal untuk kita bersenam di bulan puasa sebenarnya bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian masa individu itu sendiri. Namun begitu waktu petang sebelum berbuka puasa adalah masa yang paling sesuai. Ini kerana kekurangan cecair yang diperlukan akan dapat diganti semula sejurus selepas waktu berbuka puasa. Aktiviti senaman ringan seperti berjalan pantas dan berbasikal sudah memadai untuk membantu membakar lemak di dalam badan. Bagi yang lebih berkeupayaan atau mereka yang biasa bersukan, mereka boleh teruskan dengan rutin riadah harian mereka seperti bermain tenis, berjoging mahupun berkebun asalkan tidak memudaratkan dan mendorong kepada keinginan untuk berbuka puasa sebelum waktunya.

Pada waktu ini kekurangan glycogen di dalam badan kerana berpuasa akan membantu proses pembakaran lemak. Glycogen bermaksud tenaga yang kebanyakannya ialah glukos yang tersimpan di dalam badan (hati) yang berpunca daripada makanan yang kita ambil samada ketika bersahur ataupun berbuka. Sewaktu bersenam ataupun melakukan aktiviti-aktiviti fizikal, kadar nadi dan pernafasan kita akan menjadi lebih cepat berbanding biasa. Oleh itu, badan kita memerlukan tenaga untuk membolehkan kadar nadi dan pernafasan kita menjadi cepat. Tenaga yang terhasil daripada makanan yang kita ambil akan digunakan sewaktu kita bersenam. Namun begitu, kita harus lebih berhati-hati ketika melakukan senaman di bulan puasa bagi mengelakkan daripada ”dehydration”. Keadaan ini mudah terjadi kerana badan kita kekurangan cecair yang diperlukan disebabkan berpuasa. Ditambah pula dengan peluh yang terhasil akan menyebabkan kita mudah terdedah kepada situasi yang berisiko ini. Antara simptom-simptom ’dehydration’ ialah pening, penglihatan menjadi kabur dan air kencing pekat.

Selain daripada waktu petang, kita juga boleh melakukan aktiviti senaman di sebelah malam iaitu selepas waktu berbuka puasa dan solat tarawikh. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan mestilah bersesuaian dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan kita. Ini kerana makanan yang diambil sewaktu berbuka tidak dapat dihadamkan sepenuhnya. Ia mungkin akan menimbulkan ketidakselesaan kepada kita jika terus melakukan aktiviti-aktiviti berat seperti latihan mengangkat beban dan sebagainya.

Untuk kekal cergas di bulan Ramadhan, adalah disarankan juga bagi mereka yang tidak berkemampuan atau berkeupayaan untuk bersenam atau bersukan, supaya melakukan aktiviti fizikal harian seperti mengemas rumah, berkebun, membasuh kereta dan berjalan sebagai alternatif untuk mereka cergas di bulan puasa ini. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal ini, otot-otot di dalam badan akan dirangsang untuk lebih bertenaga dan menjadikan kita berasa sihat. Sebagai contoh sudah memadai bagi suri rumah jika tidak berkesempatan untuk bersenam dengan menggantikannya dengan aktiviti seperti mengemas rumah dan membersihkan halaman rumah. Selain dapat menggerakkan otot-otot tubuh badan, kita akan dapat mengelakkan diri daripada menjadi malas. Selain itu, aktiviti fizikal seperti menaiki tangga dan berjalan juga membantu menjadikan kita cergas walapun di bulan puasa ini.

Sebelum kita melakukan aktiviti senaman dan bersukan kita harus menilai keupayaan badan dan kemampuan kita.Setiap individu adalah berbeza tahap kesihatan dan keupayaan anggota tubuh badannya. Komposisi tubuh dan ketahanan badan mereka juga tidak sama dengan individu yang lain. Hal ini penting sekiranya seseorang itu menghidapi penyakit seperti kencing manis dan sebagainya. Badan seorang pesakit itu sensitif dan mudah terdedah kepada risiko kesihatan yang lain jika tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pakar. Sekiranya mereka ingin juga melakukan aktiviti senaman di bulan puasa ini adalah disarankan supaya mereka mendapatkan nasihat dan pandangan doktor untuk mengelakkan sebarang implikasi buruk.

Apa yang penting sekiranya kita ingin kekal cergas dan sihat di bulan puasa ini, amalan melakukan aktiviti fizikal dan senaman merupakan sesuatu yang perlu dititikberatkan selain daripada penjagaan makanan yang teratur. Sebelum melakukan sebarang aktiviti senaman kita mestilah melakukan aktiviti memanaskan badan dan menyejukkan badan selepas selesai bersenam. Amalkanlah aktiviti fizikal dan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dan 30 minit setiap sesi. Kombinasi di antara pemakanan yang sihat, aktiviti fizikal yang bersesuaian dan rehat yang secukupnya dapat menjadikan badan kita lebih sihat meskipun sedang berpuasa. Ditambah pula dengan keberkatan dengan memperbanyakkan ibadah di bulan yang mulia ini, tidak mustahil kita akan lebih sihat daripada bulan-bulan lain.

credit : http://www.infosihat.gov.my/isusemasa.php?id=44